Halaman

Khamis, 28 Ogos 2014

Implikasi Wan Azizah Jadi MB Selangor

KUALA LUMPUR, 28 OGOS : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri  Syed Ali Alhabshee menegaskan, pelbagai implikasi buruk akan berlaku seandainya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  menjadi Menteri Besar Selangor.


Selain menjadi Menteri Besar boneka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu  terpaksa tunduk  segala arahan suaminya, Anwar Ibrahim demi survival politiknya menjadi Perdana Menteri.


Pada masa yang sama, UMNO Bahagian Cheras menyokong penuh tindakan Sultan Selangor yang mahukan Pakatan Rakyat mengemukakan  lebih dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi mempastikan rakyat tidak terpalit dengan percaturan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang jelas  boleh mengancam kestabilan rakyat dan  masa depan orang Melayu di negara ini.


Syed Ali menegaskan, tindakan PKR dan DAP  mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar jelas mempunyai agenda tersirat yang jelas amat berbahaya kepada masa depan negara.


Menurut Syed Ali, tindakan Anwar yang beriya-iya mahukan isterinya menjadi Menteri Besar sudah tentu mahu  menjadikan negeri  terkaya ini sebagai  ‘markas’  PKR dan DAP merancang gerak kerja bagi   menguasai negara melalui kaedah yang jelas tidak berperaturan dan bertentangan dengan amalan demokrasi.


Beliau turut menjelaskan beberapa implikasi buruk  jika  Wan Azizah menjadi Menteri Besar tercapai.  Sudah tentu Penasihat Umum PKR itu  akan berkuasa di sebalik kerusi Menteri Besar dan berkongsi  kuasa dengan DAP yang sebenarnya menjadi pemerintah de facto  negeri itu. Wan Azizah tidak ubah seperti ‘puppet’ yang ‘remote controlnya’ dikawal oleh Anwar dan sekutunya DAP.


Tegasnya, belum pernah berlaku dalam sejarah politik tanahair seorang Menteri Besar yang tidak melakukan kesalahan didesak sebegitu rupa untuk meletakkan jawatan. Ini berlaku di Selangor atas desakan Anwar yang terus bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Perkara ini turut disokong oleh DAP yang jelas selama ini mengamalkan politik rasis dan perkauman yang sempit. DAP memang banyak mengetahui kelemahan Anwar itu sebabnya parti ini dilihat bersungguh-sungguh mahu  menjadikan  Wan Azizah sebagai Menteri Besar boneka.


“Tidak  menghairankan jika PKR akan menjadi ‘kuda tunggangan’  dan Wan Azizah sebagai  boneka DAP dalam memenuhi nafsu serakah politik parti itu boleh membawa kepada perpecahan rakyat jelata. Negara akan menjadi kucar kacir kalau amalan politik  membelakangkan undang-undang ini  tidak dicegah sejak  dari awal lagi,’’ katanya.


Jelasnya, sememangnya PKR dan DAP mempunyai misi  yang amat berbahaya dalam mempertahankan tindakan mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Bila mereka berjaya menguasai negeri ini bermakna mereka berjaya menguasai  kekayaan negeri itu.


Beliau menambah,  jika percaturan meletakkan  Wan Azizah sebagai Menteri Besar tercapai, sudah tentu dana ekonomi Selangor akan disalahguna dalam   persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) Pakatan Rakyat dan PKR terutamanya.


“Jika ini berlaku ekonomi Selangor akan jatuh merudum dan kehidupan rakyat akan menjadi kucar kacir. Tidak mustahil pentadbiran negeri ini akan lebih menfokuskan kepada agenda politik pemimpin tertentu berbanding isu pembelaan dan  kebajikan rakyat yang selama ini diberikan perhatian oleh kerajaan Barisan  Nasional (BN).


“ Mereka juga akan mengacau pentadbiran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan istana. Mereka akan membuatkan rakyat Selangor menjadi resah gelisah. Anwar yang bertindak sebagai penasihat Menteri Besar akan menggunakan wang rakyat  untuk menjelajah luar negara untuk faedah   kepentingan diri dan politik PKR,’’ tegasnya.


Tegas Syed Ali, seharusnya rakyat tidak diheret sama dalam percaturan politik sempit Anwar dan DAP . Sejak berlakunya ‘tarik tali’ PKR, DAP dan PAS   yang mahukan satu nama dihantar sebagai Menteri Besar, rakyat Selangor yang menerima padah kejahilan politik  mereka yang  jelas mengejar kuasa.


“Di sana sini kita dapat melihat kerisauan dan keresahan rakyat Selangor. Mereka mahu kemelut ini cepat-cepat diselesaikan dan agenda kebajikan rakyat didahulukan,’’ katanya.


Tambahnya lagi, cukup-cukuplah suatu ketika dahulu  rakyat diheret  pergi ke jalanan dalam  kemelut politik negeri Perak. Beliau turut mengingatkan demonstrasi jalanan dan haram bukan budaya rakyat negara ini.


“Namun  budaya kotor dan cukup berbahaya  ini cukup sinonim dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, Mereka sanggup melakukan apa sahaja dakyah  termasuk melanggar peraturan dan perlembagaan negara dalam usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya yang sah,’’ katanya.


Syed Ali turut melahirkan rasa gusar, tindakan PKR dan DAP tetap berkeras hanya menamakan satu nama calon Menteri Besar walaupun sudah diperintah Sultan Selangor agar mengemukakan lebih dua nama jelas mengandungi muslihat.


“Kerana terlalu rakus mahu menguasai pentadbiran negeri Selangor sehingga Anwar dan DAP  langsung  tidak mempedulikan segala mesej Sultan Selangor yang mahukan Pakatan Rakyat mengemukakan lebih dua nama  calon Menteri Besar,’’ katanya.


Beliau turut melahirkan rasa  kebimbangan  jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar, sudah tentu DAP akan ‘mengilas tangan’ dan menjadikan aktiviti maksiat Anwar sebagai senjata politik bagi merealisasikan cita-cita dan nafsu besar parti itu menguasai negara.


Syed Ali turut membidas tindakan biadap PKR dan DAP yang engkar dengan arahan Sultan Selangor. Kedua-dua parti ini juga didakwa tidak menghomati undang-undang dan institusi istana yang menjadi payung kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum  dan  orang Melayu di negara ini.


Syed Ali menegaskan, segala perancangan dan agenda jahat Anwar perlu dibendung  termasuk tidak melantik isterinya sebagai Menteri Besar. 


Beliau khuatir jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar sudah tentu akan merombak apa sahaja MOU kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai air, Lebuhraya Kinrara–Damansara (Kidex) dan sebagainya sudah dirancang untuk faedah  rakyat negeri ini.


Walau bagaimanapun Syed Ali tidak menolak kemungkinan PKR dan DAP akan mengheret rakyat dalam demonstrasi jalanan dan mencemuh institusi istana jika cita-cita besar mereka meletakkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor tidak tercapai.

1 ulasan:

  1. Tidak melakukan kesalahan disuruh letak jawatan. Lakukan kesalahan dan masih diberi jawatan dlm UMNO. Contoh Sharizat. Lepas suami dapat RM 250j adik pula dapat RM 1.5b.

    BalasPadam