Halaman

Jumaat, 4 Julai 2014

Syed Ali bidas Saifuddin; jangan jadi oportunis, gunting dalam lipatan

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Datuk Saifuddin Abdullah seolah-olah menyalahkan kerajaan bersabit isu Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) akan meletakkan dirinya seperti gunting dalam lipatan kepada parti.

“Sikap ini amat bahaya, seperti juga api dalam sekam, membakar dari dalam ,”
tegasnya sambil mengingatkan Saifuddin supaya tidak berlagak sebagai pejuang pembaharuan.

Menurut beliau, tindakan dan kenyataan Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu dilihat memberi keuntungan politik kepada pihak pembangkang.

Malah beliau kesal kenyataan Saifuddin berhubung perletakan jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM kononnya tanda protes terhadap perletakan jawatan Prof. Datuk Dr Redzuan sebagai pengarah Umcedel.

Tindakan itu kata beliau, seolah-olah cuba memberi persepsi buruk bahawa kerajaan khususnya UMNO telah melakukan tekanan terhadap Prof. Dr Redzuan.

“Saifuddin nak tunjuk kononnya kerajaan menyekat kebebasan akademik dan universiti di negara ini, ini satu tanggapan  tidak betul,” tegasnya.

Syed Ali mendakwa, bekas Ahli Parlimen Temerloh itu seperti sengaja meletakkan kesalahan kepada kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran.

Beliau menegaskan, Saifuddin tidak perlu untuk menayangkan kepada umum bahawa dirinya berprinsip berhubung isu Umcedel.

“Tak perlu nak tunjuk bahawa kononnya kerana prinsip, tetapi dalam masa yang sama bersikap orpotunis dan menikam parti secara senyap,” tegasnya.

Katanya, kenyataan Saifuddin sejak kebelakangan ini bersabit isu Umcedel turut mendapat sokongan pembangkang dan mereka sepakat menyalahkan pemimpin UMNO.

Beliau menjelaskan, dakwaan Saifuddin menerusi portal berita pro pembangkang sebelum ini bahawa Prof. Dr Redzuan diminta meletakkan jawatan sebagai tidak tepat.

Tambah beliau, Saifuddin sebagai bekas timbalan menteri dan pemimpin UMNO sepatutnya menilai implikasinya terhadap parti ekoran kenyataannya yang seperti mencerca kerajaan.

Syed Ali berkata, kenyataan Saifuddin yang dilihat sering bercanggah dengan aspirasi dan semangat UMNO dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada parti.

“Ada pihak mendakwa beliau seorang pengkhianat UMNO dan hanya menunggu masa untuk menyertai pembangkang khususnya PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya, sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya, tetapi semua orang tahu bahawa  Saifuddin mempunyai hubungan yang akrab dengan Anwar.


2 ulasan:

  1. Saifuddin bolih berambus dari UMNO dan cepat2 join PKR atau PAS. DS Najib buat kesilapan besar menerima beliau jadi ahli UMNO dan lantik jadi T>Menteri.. Banyak telah DS Najib buat silap dan kena tegur tapi tak jadi kudis bagi dia. Mungkin dia beranggapan yang dia bolih jadi PM selama2nya.

    BalasPadam
  2. Adanya saifudin dalam umno umpama seekor khinzir bersama sekandang lembu. Habis semuanya terpalit najis. New politics belum perlu waktu ini en pudin oii...

    BalasPadam