Halaman

Khamis, 26 Jun 2014

Syed Ali : Angkara dalaman rosakan kestabilan UMNO,

DATUK Seri Syed Ali Alhabshee menyeru kalangan ahli UMNO supaya tidak mencetuskan isu sensasi yang boleh menjejaskan perpaduan parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu kesal sejak kebelakangan ini ada pihak tertentu sengaja mencetuskan spekulasi menerusi laman-laman sosial.

“Jangan kita ikut rentak pembangkang, kita kena perkuatkan UMNO daripada dalam,” tegasnya.

Katanya, perbuatan sengaja ‘mengada-adakan’ cerita tidak benar hanya akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Malah menurutnya, ada pihak sengaja melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO dan menyebarkan berita yang tidak tepat.

“Perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan UMNO malah akan memberikan persespsi negatif rakyat kepada parti dan kerajaan,” tegasnya.

Apa yang menyedihkan tambah beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikatakan turut membabitkan ahli-ahli UMNO.

Beliau mengingatkan, UMNO boleh runtuh bukan kerana kekuatan pihak lawan tetapi berpunca daripada sikap dalaman.

Menurutnya, perbuatan khianat, hasad dengki dan tidak amanah menjadi punca keretakan UMNO.

“Gunting dalam lipatan ini lebih berbahaya daripada parti pembangkang,” tegasnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan.

Beliau merujuk kepada pelbagai spekulasi sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlantikan wakil MCA dan Gerakan dalam kabinet, semalam.

Katanya, sebelum ini ada pihak mendakwa Najib akan merombak kabinetnya dengan menggugurkan beberapa menteri dan timbalan menteri.

“Pengumuman Najib  semalam terbukti andaian negatif itu tidak tepat,” katanya.

Malah kata beliau, sebelum itu tersebar di laman-laman sosial bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan.

“Sebelum Najib umumkan kabinet baru semalam, macam-macam laporan di laman sosial antaranya Muhyiddin sudah tidak sehaluan dengan Perdana Menteri,” tegasnya.

Beliau mendakwa, laporan itu sengaja disebarkan untuk melaga-lagakan hubungan baik Muhyiddin dengan Najib.

“Ia boleh disifatkan sebagai angkara dalaman yang mahu merosakan kestabilan UMNO,” katanya.

Syed Ali mengingatkan, kecelaruan yang berlaku dalam parti akan memberi keuntungan kepada pihak pembangkang.

Beliau berkata, parti pembangkang hanya menunggu untuk mengeksploitasikan apa juga isu yang melanda UMNO.

Mengenai perlantikan wakil MCA dan Gerakan sebagai menteri dan timbalan menteri seperti yang diumumkan Najib semalam, Syed Ali berkata :

“Tiada perubahan besar berlaku, bagaimanapun perlantikan wakil MCA dan Gerakan diharap memberi kekuatan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau percaya Najib telah mengambilkira daripada pelbagai aspek khususnya bersabit kepentingan politik kaum Cina.

Sehubungan itu, beliau berharap MCA dan Gerakan akan berupaya memulihkan semula keyakinan pengundi Cina terhadap BN.


“Keputusan PRU ke-13 menyaksikan kemerosotan undi Cina kepada BN amat ketara sekali,” katanya.

1 ulasan:

  1. Inilah hakikat yang sebenarnya. Masalah dalaman UMNO lebih merbahaya daripada parti pembangkang. Lihat bagaimana ahli parti pembangkang bertindak apabila berlaku sesuatu isu terhadap ahli dan pemimpinnya. Dipertahankan juga walaupun ada bukti dan fakta. Tak cukup dengan itu dispinkan pula cerita itu sehingga menampakkan segala cerita itu UMNO punya kerja. Kecoh semasa pemilihan parti pembangkang lebih kepada berebut kuasa. Selesai aje semua boleh rapatkan barisan semula.

    Ini semua tak berlaku dalam UMNO. Timbul aje isu, jawap sendirilah. Yang lain hanya tunggu dan lihat aje menunggu kejatuhan seseorang. Pentingkan diri sendiri kebanyakkan ahli UMNO ni. Silap gaya menyokong pulak isu tersebut. Lagi le teruk. Bukan menyuruh ahli UMNO menyokong membabi buta tetapi dalam zaman media sosial yang tanpa batasan ini lebih banyak cerita spekulasi tanpa bukti dan fakta kukuh daripada cerita yang sahih yang sebenarnya. Berhati-hatilah.

    BalasPadam