Halaman

Jumaat, 6 Jun 2014

Malaysiakini perlu 'diajar', Anwar jurucakap fitnah - Syed Ali


KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, portal berita pro-pembangkang, Malaysiakini perlu 'diajar' supaya tidak lagi menyiarkan laporan berita berunsur fitnah.

Beliau menegaskan, mengheret Malaysiakini ke muka pengadilan merupakan langkah tepat supaya mereka lebih bermoral dalam penyiaran berita dan tidak lagi mengulangi perbuatan tesebut.

"Menyebarkan laporan berita berunsur fitnah dan tohmohan jahat bukan sikap kewartawanan yang beretika dan mulia," tegasnya.

Katanya, portal berita tersebut sejak kebelakangan ini sudah melampau batas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merealisasikan cita-cita politik parti pembangkang.

"Kita tidak salahkan mereka jika cenderung kepada agenda pembangkang, tetapi apa yang dikesalkan ialah laporan beritanya menjuruskan kepada unsur fitnah yang boleh memudaratkan pemikiran rakyat," tegasnya.

Sehubungan itu kata Syed Ali, beliau menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakin berhubung komen pembaca yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

"Langkah Najib menyerahkan wirit saman kepada portal berita berkenaan merupakan satu tindakan tepat untuk mengajar Malaysiakini supaya lebih beretika dan bertanggungjawab," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, penyebaran fitnah dilihat mula menjadi amalan popular beberapa portal berita untuk memburukkan parti pemerintah.

"Jika tindakan undang-undang tidak dikenakan terhadap mereka, saya bimbang gejala fitnah akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat," ujarnya.

Menurut beliau, bahaya fitnah amat besar kesannya kepada masyarakat dan tindakan Perdana Menteri mengemukakan saman terhadap Malaysiakini perlu diberikan sokongan oleh semua pihak.

Katanya lagi, portal berita pro-pembangkang berkenaan tidak kebal daripada undang-undang dan perbuatan menyebarkan fitnah wajar diberikan hukuman setimpal.

Beliau menyarankan, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) mengharamkan  penerbitan Malaysiakini.

Writ dan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada Malaysiakini di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia menamakan penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn. Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar.

Pengurusan kes tersebut ditetapkan pada 18 Jun ini dihadapan Hakim SM Komathy Suppiah.

Tambah Syed Ali lagi, jika pembangkang boleh melakukan tuntutan saman terhadap parti pemerintah maka tidak ada sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan yang sama.

"Kenapa bila UMNO saman pembangkang, mereka tuduh kerajaan sekat kebebasan akhbar dan halang rakyat bersuara, sebaliknya mereka pula mengecam kerajaan secara terbuka dengan fitnah dan menghasut rakyat," tegasnya.

Inilah juga kata beliau, yang selalu dlakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media asing dan laman sosial.

"Anwar dalam usahanya untuk menjadi Perdana Menteri, memperalatkan akhbar dan media sosial termasuk akhbar asing memfitnah pentadbiran Najib," ujarnya.

Menyifatkan Anwar sebagai 'jurucakap fitnah', Syed Ali menegaskan pembangkang di negara ini semakin tertekan apabila majoriti rakyat mula membenci dengan gerakan politik  mereka.

"Rakyat sudah bosan, benci  dan meluat dengan gelagat pembangkang yang hanya menyalahkan kerajaan dalam apa sahaja perkara," tegasnya.

Beliau turut meramalkan bahawa jangka hayat politik Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sudah berada di penghujung jalan.

Oleh sebab itu katanya, Anwar berhempas pulas mahukan dinasti politik keluarganya dalam PKR terus diwarisi oleh anak dan isterinya, Nurul Izzah dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan