Halaman

Isnin, 15 Disember 2008

2 calon Timbalan Presiden UMNO lawat pameran gerak usahawan Cheras


KUALA LUMPUR : Program Gerak Usahawan, peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Cheras yang berakhir semalam menerima kejutan apabila turut dilawati oleh dua calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam.

Ketua Menteri Melaka itu tiba sebaik sahaja selesainya acara perasmian majlis tersebut yang telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Dato’ Noh Haji Omar di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, di sini.

Kedatangan Mohd. Ali disambut oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, ahli jawatankuasa empat peringkat Umno Bahagian dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad.

Orang ramai yang hadir di majlis tersebut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Mohd. Ali sebaik sahaja beliau memasuki dewan utama.

Selepas majlis perasmian, Syed Ali yang juga Pengerusi MPUD Cheras mengiringi Noh Omar dan tetamu jemputan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan kementerian melawat ke gerai-gerai pameran yang mempamerkan pelbagai produk usahawan tempatan.

Sebanyak 60 peserta mengambil bahagian mempamerkan pelbagai produk seperti Makanan, Herbal & Kesihatan, Pertanian, Kecantikan, ICT & Komunikasi, Peralatan Eletrik & Eletronik, Fabrik dan Pakaian, sepanjang dua hari ekspo itu berlangsung.

Antara agensi di bawah MECD yang turut serta ialah MARA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, TEKUN Nasional, PNS, UDA, SME Bank, Bank Rakyat dan Maktab Kerjasama Malaysia.

Ketika lawatan Noh Omar bersama Syed Ali ke gerai-gerai pameran, ribaun pengunjung yang hadir sekali lagi menerima kejutan apabila Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) muncul bersama.

Kesempatan itu digunakan oleh para pengunjung untuk bersalaman dan ada yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan Muhyiddin, merangkap Ahli Parlimen Pagoh.

Selepas melawat gerai-gerai pameran, Syed Ali, Noh Omar, Mohd. Ali dan Muhyiddin serta Mokhtar Samad kemudiannya dilihat bersama-sama menikmati minuman dan makanan ringan di salah sebuah gerai yang menyertai pameran tersebut.

Kemesraan mereka jelas menggambarkan bahawa pemimpin UMNO sentiasa komited dengan perjuangan dengan sentiasa mengekalkan semangat perpaduan yang erat.

Keterangan gambar : Noh Omar diapit oleh Syed Ali Alhabshee (kanan) dan Mokhtar Samad (kiri) menunjukkan tanda bagus setelah menikmati jus kesihatan Berry Gen keluaran Tupperware Beuti Control.

1 ulasan:

  1. Tahniah kerana anjur program gerak usahawan ini. Muga ia menjadi nadi penggerak kekuatan ekonomi melayu.
    Saya terpanggil nak komen pasal statement ramai yg nak salam dgn Ali Rustam?...Salam kosong je ke?
    Cuba lihat blog Datok Ruhani yg kata dah ada 400 lapuran politik wang dibuat pada calon Timbalan Presiden...Siapa orang itu?
    Semua orang tahu siapa dia...sepandai2 tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

    BalasPadam