Halaman

Isnin, 16 Mac 2015

Anggap UMNO musuh bersama; Syed Ali dakwa Naib Presiden PAS angkuh



DATUK Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terlalu sombong dan angkuh apabila menegaskan UMNO tetap menjadi 'musuh bersama' parti itu dan Pakatan Rakyat (PR).


Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menjelaskan, PAS sebenarnya sedang bermasalah dengan sektunya dalam PR bersabit enakmen Jenayah Syariah Kelantan bagi melaksanakan hukum hudud.

"Parti itu sebenarnya sedang bermasalah, tetapi cuba mengalih perhatian umum dengan menyerang UMNO," ujarnya.

Beliau mempersoalkan mengapa UMNO yang menjadi sasaran kecaman pemimpin PAS sedangkan parti itu sebenarnya bersengketa dengan DAP dan PKR.

"Dalam isu hudud, UMNO sokong cadangan PAS walaupun berbeza ideologi politik, tetapi Naib Presdiden itu parti berlagak angkuh dan sombong dengan membuat penegasan sedemikain  rupa," katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim bagaimanapun kata beliau, tidak memberi kesan kepada UMNO kerana parti mengambil pendirian ikhlas menyokong cadangan hudud kerana ianya sebahagian daripada tuntutan agama.

"Tetapi yang jadi masalahnya ialah sikap orang PAS sendiri, langsung tidak bersyukur. UMNO tidak terkilan kerana sedar PAS semakin hilang kredibilitinya sebagai parti yang kononnya memperjuangkan kepentingan umat Islam," tegasnya.

Beliau kesal kerana pemimpin PAS tetap mengamalkan sikap berdendam dan terlalu buruk sangka walaupun sikap itu bukan ajaran Islam.

"Kita hairan kenapa masih ada segelintir pemimpin PAS yang jumud, tidak mahu menerima jalan kebaikan termasuk bersangka baik terhadap UMNO," ujarnya.

Syed Ali menjelaskan, PAS kini berada dalam situasi yang semakin parah membabitkan hubungannya dengan DAP dan PKR disamping krisis dalaman parti itu yang semakin memuncak.

PAS katanya, menyedari jika PR menolak hukum hudud bermakna parti itu akan bersendirian atau terpaksa meninggalkan pakatan tersebut.

"PAS kena buktikan kepada orang Melayu khususnya umat Islam bahawa mereka masih ada maruah dan tidak menjadikan hudud sebagai modal politik," tegasnya.

"Kita nak tengok sejauhmana beraninya PAS bertindak sendirian tanpa sokongan DAP dan PKR.

Selain itu, Syed Ali mendakwa krisis dalaman dalam PAS yang menyaksikan kebangkitan golongan sekular untuk menyingkirkan kepimpinan golongan ulama semakin memudarkan hala tuju perjuangan parti itu.

Menurut beliau, adanya dua tokoh yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang membuktikan ada gerakan untuk menyingkirkan golongan ulama.

Beliau tidak menolak kemungkinan golongan sekular tersebut merupakan kumpulan "Anwarisma' yang sebelum ini telah berjaya menyusup masuk dalam PAS.

Muktamar PAS ke-61 tidak lama lagi bakal menyaksikan kedudukan Haji Hadi dan beberapa tokoh ulama parti itu akan dicabar oleh kumpulan yang dilebelkan sebagai sekular.

"Golongan inilah sebenarnya yang akan merosakkan PAS, bukannya UMNO seperti yang didakwa Tuan Ibrahim sebagai musuh bersama," tegasnya.

Tuan Ibrahim  dalam kenyataannya kepada sebuah portal berita hari ini menjelaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menjadi 'musuh bersama' PAS dan PR.

Naib Presiden PAS itu turut menjelaskan, jangan pula bila UMNO menyatakan sokongan kepada enakmen tersebut, maka itu jadi  petanda UMNO akan bergabung dengan PAS.

2 ulasan:

  1. dah nak 4 kali ada bersih, tapi hati puak2 takbur ni masih juga tak bersih. nak sampai masuk kubur baru insaf kot.

    BalasPadam
  2. Sombong dan ... buta hati.

    BalasPadam