Halaman

Isnin, 25 Ogos 2014

UMNO Cheras mahu tender 25 tahun membekal makanan kepada pesawat MAS dikaji semula


KUALA LUMPUR, 25 OGOS : UMNO Bahagian Cheras berpendapat MAS perlu melakukan transformasi secara menyeluruh berhubung kontrak pembekalan makanan di dalam pesawat syarikat berkenaan.

Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan mahu memperbaiki dan memulihkan semula syarikat tersebut yang dilaporkan terjejas teruk.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengkaji balik berhubung pemberian tender membekal makanan kepada Syarikat Brahim's untuk konsesi selama 25 tahun yang mula dipertikaikan umum.

"Banyak pihak mempertikaikan kenapa hanya syarikat Brahim's yang diberikan keutamaan dan peluang membekalkan makana kepada pesawat MAS, ianya didakwa sebagai satu monopoli keterlaluan yang perlu dipecahkan," tegasnya

Lagi pun kata beliau, pemilik syarikat Brahim's dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang kini dilantik sebagai Penasihat MAS.

"Hubungan keluarga pemilik syarikat Brahim's dengan Pak Lah (Abdullah) akan dilihat sebagai satu kepentingan keluarga dan memberi persespsi negatif kepada rakyat.

Menurut beliau, rakyat mungkin tidak menyalahkan Pak Lah selaku Penasihat MAS berhubung isu syarikat pembekalan makanan tetapi akan memberi imej buruk kepada kerajaan.

"Pasti akan mencetuskan tanggapan dan tohmohan apabila syarikat tersebut mempunyai pertalian keluarga dengan Pak Lah dan secara tidak langsung ketelusan kerajaan akan dipertikaikan umum," tegasnya.

Tambah Syed Ali, pihak tertentu mendakwa akan berlaku konflik kepentingan membabitkan Penasihat MAS dengan syarikat Brahim's dan sewajarnya perkara ini perlu diatasi segera.

Justeru kata beliau, konsesi selama 25 tahun dengan MAS yang dilaporkan membayar sebanyak RM260 juta kepada syarikat Brahim's setiap tahun menimbulkan persoalan umum.

Syarikat pembekalan makanan itu telah memeterai perjanjian dengan MAS untuk konsesi bagi tempoh slama 25 tahun.


"Mengapa sebanyak itu diberikan kepada syarikat berkenaan, kenapa tidak dipecahkan penguasaan tender membekal makanan kepada MAS kepada beberapa syarikat bumiputera yang lain," soalnya.


Katanya, dalam usaha MAS memulihkan prestasi yang semakin merundum, pelbagai aspek perlu diberikan perhatian termasuk berkaitan pembekalan makanan di dalam pesawat syarikat tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah bahawa isu pembekalan makanan di dalam persawat MAS merupakan antara fokus yang mahu diperbaiki demi memulihkan syarikat penerbangan negara.

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (Isnin), beliau dipetik sebagai berkata hal itu merupakan antara struktur yang perlu diperhalusi, memandangkan beberapa usaha yang dijalankan sebelum ini untuk memulihkan syarikat itu kurang berhasil.

"Mengeluarkan MAS dari Bursa Malaysia oleh Khazanah Nasional, adalah langkah yang baik supaya usaha memulihkan syarikat lebih mudah dan tidak mengulangi kesilapan sebelum ini," katanya.

2 ulasan:

  1. Tu bukan tender..tu pajak!!

    BalasPadam
  2. 2 tahun cukup la pastu kasi org lain pula.. next tender x boleh masuk.. tender kali ketiga baru boleh masuk semula.

    BalasPadam