Sunday, November 29, 2009

Wilayah Persekutuan perlu formula baru agihan kerusi

UMNO mahu pengagihan kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam Wilayah Persekutuan bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang, dikaji semula.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali AlHabshee, berkata langkah itu bagi memberi keyakinan kepada pengundi dan warga kota memandangkan senario sosioekonomi dan politik sudah berubah.


"Jika kita melihat pengagihan kerusi dulu, walaupun di kerusi (kawasan) majoriti Melayu pun, kita (Umno) kena berkorban untuk parti komponen. Tetapi sekarang kita harus melihat kembali (kerana) senario dah jadi berlainan. Saya tak kata kita harus tukar, tetapi kita kena melihat kembali punca kekalahan (dan hakisan) keyakinan rakyat terhadap parti kita supaya dalam PRU Ke-13 kita akan memastikan BN menang.

"Ini (PRU Ke-12) adalah satu pengajaran. Kita tidak mampu untuk hilang kerusi lagi (dalam PRU Ke-13). Umno kena menjadi satu parti yang lebih dipercayai dan perlu mendahului. Saya lihat hari ini Umno terpaksa menjadi 'lead' kerana di mana-mana kita ada cawangan dan bahagian. Ini kekuatan Umno," katanya yang juga Setiausaha BN Wilayah Persekutuan dan bertekad mengadakan mesyuarat setiap tiga bulan sekali.

Syed Ali yakin parti komponen perlu ada sikap keterbukaan untuk menerima perubahan. "Jika kita hendak menang, kita kena menerima hakikat dan Umno saya yakin juga akan terima hakikat untuk membuat perubahan. Kita tidak mahu menjadi pemimpin yang syok sendiri dan sentiasa berasakan dirinya betul. (Tetapi sekarang) kita kena turun ke bawah. Kita kena kenal pasti masalah rakyat," katanya.
Beliau berkata, sama ada di kalangan kepemimpinan Umno Bahagian atau sesama parti komponen BN, mesti mengelakkan perpecahan dan 'politiking', sebaliknya segera memperkasakan parti bagi mengembalikan semula keyakinan dan sokongan rakyat.

Umno Wilayah Persekutuan diberi lima kerusi untuk ditanding dalam PRU Ke-12 lalu. Calon Umno tewas di Parlimen Lembah Pantai serta Titiwangsa dan menang di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. Kerusi lain diberi kepada MCA (Cheras, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak, Seputeh dan Wangsa Maju) serta Gerakan (Segambut, Batu dan Kepong). Lapan kerusi ini turut diduduki parti pembangkang – PKR (empat), Pas (satu) dan DAP (lima).

Syed Ali berkata, kekalahan pada pihak BN memberi satu pengajaran. "(Apa) yang terjadi pun bagus (dan jadi) pengajaran kepada parti komponen supaya sedar (dan) bermuhasabah supaya kita lakukan sesuatu yang betul untuk kepentingan rakyat".

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Wilayah Persekutuan, Kamarudin Hasan, berkata 'war room' mula digerakkan di semua bahagian. Pada masa sama, semua data pengundi dikemaskini bagi memudahkan tindakan susulan melalui 546 cawangannya.

Beliau bagaimanapun, tegas supaya parti memberi keutamaan kepada pengisian untuk mendampingi pengundi dan itu tidak disebut dalam kursus motivasi yang sedang berlangsung sekarang.

"Kursus cuma hendak membangkit dan memperkasakan semangat sayangkan parti, bangsa serta agama. Program pula setakat untuk disertai, peserta mendengar ceramah atau motivasi kemudian menikmati jamuan dan selepas itu balik. Ia habis setakat itu.

Tetapi pengisian khususnya parti dan kepemimpinan mendampingi rakyat, akan memberi kesan sangat besar. Inilah yang perlu diutamakan sekarang," katanya sambil 'pemimpin turun padang dan berjumpa rakyat' sebagai petua mudah yang akan mengembalikan sokongan rakyat, sekali gus memberikan kemenangan kepada parti.

Umno Wilayah Persekutuan yang disokong 13 sekretariat harus meningkatkan gerak kerja, termasuk mengumpul fakta kelemahan parti dan lawan serta mengenal pasti masalah dan tindakan.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Lembah Pantai, M Sazali Kamilan, pula berpendapat undi Melayu di Wilayah Persekutuan berpecah kepada tiga – Umno, Pas dan PKR sehingga menjadi undi penentu bagi sesetengah kawasan Parlimen.

Beliau turut menyebut beberapa faktor kekalahan calon BN dalam PRU Ke-12 lalu. Antaranya, persepsi yang menebal bahawa semua tindakan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah zalim.

Selain itu, isu perumahan dan pemindahan penduduk setinggan, tindakan meroboh gerai, menyaman penjaja dan merampas perkakasan niaga turut menjadi faktor.

"Oleh itu, kerajaan dan Umno mesti berusaha membantu meningkatkan taraf hidup dan keselesaan warga kota dengan membantu mewujudkan peluang kerja atau ruang niaga serta menyediakan kediaman sesuai untuk mereka," katanya.


(Dipetik daripada akhbar BERITA HARIAN : 28/11/2009)

Tuesday, November 24, 2009

Kepentingan menantu; Nik Aziz sepatutnya letak jawatan MB – Syed Ali

KONFLIK PAS Kelantan bukan kerana adanya penyebaran fitnah tetapi disebabkan kelemahan dan kepincangan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dikatakan lebih menjuruskan kepada kepentingan kroni politiknya.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, Nik Aziz tidak sepatutnya berselindung di sebalik nama Islam berhubung isu menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang meletakkan jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) semalam.

Katanya, jika Nik Aziz ikhlas dan tidak mementingkan kroni dan keluarga, awal-awal lagi dia tidak perlu melantik menantunya memegang jawatan tertinggi dalam perbadanan tersebut.

“Pemimpin PAS tidak akan berani membantah apa yang dia buat walapun tindakan itu terdedah kepada kemungkinan berlakunya unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, Nik Aziz seperti cuba menyembunyikan kebenaran daripada diketahui rakyat apabila mendakwa menantunya menjadi mangsa fitnah dan mencacatkan kepimpinan Islam.

“Daripada menunding jari kepada pihak lain dan berselindung disebalik Islam, adalah lebih wajar jika Nik Aziz meletakkan jawatan Menteri Besar Kelantan bagi membuktikan kepada rakyat bahawa beliau bertanggungjawab dalam isu PMBK,” katanya.

“Nik Aziz juga tidak perlu berdolak-dalik dan sepatutnya insaf bahawa kepimpinannya sudah ditolak oleh pemimpin PAS khususnya di Kelantan,” ujarnya lagi.

Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengulas mengenai perletakan jawatan menantu Nik Aziz sebagai CEO dalam PMBK selepas rombongan tertinggi PAS diketuai Presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menemui beliau di Kota Bharu semalam.

Sebelum ini Nik Aziz dikatakan mempertahankan kedudukan menantunya dan menyifatkan segala tuduhan yang dilemparkan menerusi laman blog sebagai fitnah.

Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat perbadanan tersebut di Kota Bharu pada 9 November lalu.

Krisis itu turut mengheretkan Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang semalam dilaporkan akan meletakkan kesemua jawatannya dalam parti dan kerajaan kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan Nik Aziz.

Menurut Syed Ali lagi, golongan muda dalam PAS sudah mula menunjukkan protes kepada kepimpinan Nik Aziz yang didakwa sering bertindak mengikut nafsu politiknya dengan berselindung di sebalik nama Islam.

“Apa sahaja isu yang berlaku membabitkan Nik aziz dan keluarganya, beliau akan kata semua itu fitnah dan mencacatkan Islam, termasuk isu tajaan RM65,000 untuk ke Mekkah,” tegasnya.

Sunday, November 22, 2009

SPRM : Rakyat akan tuduh kerajaan tidak serius perangi rasuah – Syed Ali

KEWIBAWAAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dihormati oleh orang ramai apabila hanya dibenarkan menyoasl siasat saksi dalam waktu pejabat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

“Fungsi penguatkuasaan undang-undang yang ada pada SPRM hanya akan dijadikan bahan ketawa orang ramai dan tidak lagi dihormati oleh masyarakat,” tegasnya.

Malah katanya, langkah itu juga akan menjadikan SPRM sebagai satu suruhanjaya yang mundur ke belakang dan tidak profesional dalam menangani gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kalau nak ikut waktu pejabat, lebih baik suruhanjaya itu dibubarkan sahaja dan dijadikan jabatan kerajaan yang tidak serius untuk menangani jenayah rasuah,” tegasnya.

“Hari ini ada pihak berjaya dapat keputusan mahkamah untuk hadkan kuasa SPRM, mungkin selepas ini ada pula yang cuba hadkan bidang kuasa polis dan tentera, ini semua untuk menjahanamkan kestabilan negara,” tegasnya.

Sehubungan, beliau mahukan kerajaan mengambil langkah serius berhubung keputuan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Jumaat lalu yang menetapkan SPRM tidak boleh menyiasat saksi di luar waktu pejabat seperti diamalkan sebelum ini.

“Kerajaan khususnya SPRM perlu buat rayuan terhadap keputusan itu kerana rakyat mahukan satu tindakan yang tegas dan telus dalam memerangi gejala rasuah di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah bersungguh-sungguh untuk memerangi apa jua bentuk amalan rasuah dan keputusan itu telah memberi persespi buruk kepada masyarakat umum.

“SPRM ditubuhkan untuk banteras rasuah, tetapi hanya dengan satu kes di mahkamah, perananya dihadkan, ini langkah mundur ke belakang dan memalukan,” tegasnya lagi.

Menurut Syed Ali, SPRM sebagai suruhanjaya profesional sepatutnya diberikan kuasa sepenuhnya untuk menyoal siasat saksi walaupun di luar waktu pejabat sepertimana berlaku di negara-negara maju.

Beliau bimbang keputusan itu juga akan memberi gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan yang ada hari ini sengaja mencari helah untuk membiarkan perlakuan rasuah berleluasa.

“Kita khuatir, rakyat akan tuduh kerajaan hari ini tidak serius untuk memerangi rasuah dengan menghadkan tempoh soal siasat dan memberi kelonggaran kepada saksi,” katanya.

Thursday, November 19, 2009

Sokong polis tembak penjenayah – Syed Ali

UMNO Bahagian Cheras menyokong penuh tindakan polis menembak penjenayah yang memberi ancaman keselamatan kepada orang awam dan anggota pasukan polis, kata ketuanya, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

“Jika penjenayah adalah suspek memberhaya dan ada kecenderungan mereka boleh mengancam nyawa orang awam dan anggota polis, maka tindakan nekad perlu diambil termasuk melepaskan tembakan,” tegasnya.

Oleh itu katanya, mana-mana pihak tidak perlu mempersoalkan kewajaran pihak polis menembak penjenayah kerana tindakan itu dibenarkan oleh undang-undang bagi menjamin keselamatan awam.

“Polis tidak bertindak membabi-buta, sebaliknya suspek tersebut terlebih dahulu telah diintip aktiviti dan rekod jenayah mereka sebelum sebarang tindakan diambil,” jelasnya.

Menurutnya lagi, anggota polis juga berhak mempertahankan diri mereka dan mengambil tindakan balas termasuk menembak penjenayah.

“Apakah kita sanggup melihat penjenayah bertindak ganas dan membunuh mereka yang tidak berdosa sehinggakan kita sendiri merasakan berada dalam zon memberhaya apabila setiap kali keluar rumah?” soalnya lagi.

Sehubungan itu katanya, masyarakat harus menghargai peranan dan tanggungjawab yang dilakukan oleh pihak polis dan pasukan keselamatan yang lain dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) mengulas kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang kesal kerana ada pihak cuba membuat spekulasi berhubung lima penjenayah kumpulan PCO Boy yang ditembak mati di Klang pada 8 November lalu.
“Kalau ada polis yang ditembak mati, tak ada pun yang kisah. Tak ada pula ucap takziah atau buat perhimpunan. Tapi kalau penjenayah yang kena, kenapa pula semua pihak sibuk ?,” kata Musa seperti yang dilaporkan oleh akhbar hari ini.

Dalam hubungan ini, Syed Ali tidak menolak kemungkinan ada segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut bagi mencetuskan keresahan kaum di kalangan masyarakat.

“Ini semua perbuatan tidak bertanggungjawab yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan politik,” tegasnya.

Beliau mengingatkan, isu keselamatan negara dan ketenteraman awam tidak boleh dipolitikkan kerana ianya boleh menimbulkan persespi negatif kepada rakyat.

“Mereka yang mempolitikkan isu tersebut sebenarnya mahu melihat rakyat dan negara ini menuju kehancuran,” tegasnya.

Wednesday, November 18, 2009

Anwar rancang Azmin Ali jadi MB Selangor

DATUK Seri Anwar Ibrahim dipercayai akan menggunakan pelbagai kemudahan selaku penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor untuk menguatkan kedudukan Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mendedahkan usaha tersebut telah dirancang oleh Anwar bagi merintis jalan untuk Azmin menduduki kerusi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Penasihat PKR itu ada muslihatr dan strategi sulit untuk mengukuhkan kerjaya politik Azmin, oleh sebab itu Anwar sanggup terima jawatan tersebut biarpun hanya menerima elauan RM1,” tegasnya.

Menurut beliau, usaha Anwar itu dilihat sebagai membalas kesetiaan dan hubungan rapat beliau dengan Azmin yang terjalin kukuh selama ini.

Oleh sebab itu kata beliau, Anwar, tetap akan mempertahankan kedudukan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak walaupun tidak disenangi oleh pemimpin PKR yang lain.

“Azmin tidak boleh dikritik atau ditegur oleh mana-mana pemimpin PKR, jika ditegur, maka tekanan politik akan dikenakan oleh Anwar dan ini sudah pun berlaku ke atas beberapa orang wakil rakyat daripada parti itu” tambahnya.

Mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor, Syed Ali tidak menolak kemungkinan Khalid akan menjadi mangsa kepada kerakusan politik Anwar selepas pilihan raya umum akan datang.

Lagipun jelas beliau, Khalid hanyalah ‘patung’ kepada Anwar dan DAP walaupun menyandang jawatan Menteri Besar Selangvor.

“Tidak mustahil dalam masa terdekat ini Khalid bakal disisihkan oleh Anwar bagi membuka laluan kepada Azmin,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan membidas sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang tergamak ‘mengiklankan’ dirinya untuk mendapat penajaan bagi mengerjakan fardhu haji tahun depan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau sudah tentu mempunyai kewangan yang mencukupi untuk mengerjakan haji, jadi tidak perlulah menagih simpati daripada pihak tertentu,” tegasnya.

“Kalau kita mampu, tak payah nak minta subsidi, macam minta sedekah, pergilah ke Mekkah dengan niat ikhlas dan hati yang bersih,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang sanggup menaja Nik Aziz ke Mekkah tahun depan apabila diiklankan secara terbuka menerusi akhbar.

Sehubungan itu, berliau menasihati Nik Aziz supaya lebih mehamai definasi rasuah atau sogokkan berupaa suapan yang dilakukan oleh sesetengah pihak kerana ada muslihat atau niat tertentu.

“Adalah amat menyedihkan jika Nik Aziz yang sudah lebih 12 tahun memegang jawatan Menteri Besar masih tidak juga faham-faham antara keikhlasan dan muslihat rasuah yang sengaja dilakukan,” tegasnya.

Monday, November 16, 2009

Alih perhatian isu liwat; Anwar lancar perang terhadap Najib

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Selangor semakin lumpuh sehingga memaksa penasihat umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan perang terhadap Perdana Menteri bertujuan mempertahankan negeri tersebut.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, tindakan Anwar berhempas pulas untuk mempertahankan kedudukan Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Beasar jelas menunjukkan PKR sedang mengalami era kehancuran.

“Anwar lancarkan perang terhadap Najib bukan kerana kepentingan PKR, tetapi untuk alihkan perhatian umum daripada isu liwat yang sedang beliau hadapi,” tegasnya.

“Kepimpinan PKR Selangor berdepan dengan kekecewaan rakyat berikutan pelbagai kelemahan dan penyelewengan yang berlaku, inilah sebenarnya dibimbangi Anwar,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, percaturan PKR Selangor melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi merupakan langkah menyedihkan kerana beliau bukan pakar ekonomi malah akan membawa kehancuran kepada negeri tersebut.

“Anwar bukan pakar ekonomi dan hanya bergantung kepada penasihat ekonominya untuk bercakap dalam isu ekonomi negara sepertimana yang pernah dilakukan semasa memegang jawatan Menteri Kewangan dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad,” tegasnya.

Syed Ali mendakwa, persetujuan Anwar menerima tawaran sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dengan elaun RM1 sebulan hanya merupakan satu ‘silap mata’ untuk mengabui rakyat.

“Sebenarnya dengan jawatan tersebut Anwar boleh mendapat pelbagai keistimewaan dan menggunakan banyak kemudahan yang disediakan kerajaan negeri Selangor termasuk mengadakan lawatan ke luar negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut pengisytiharan perang terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Anwar, Syed Ali menjelaskan pemimpin PKR itu akan melakukan apa sahaja untuk mengelirukan perhatian rakyat.

Anwar mengistiharkan perang terhadap Najib ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Selangor di Shah Alam semalam, yang turut dihadiri oleh Khalid dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Syed Ali lagi, bagi menutup kelemahan dan kepincangan PKR termasuk kepimpiannya di Selangor, Anwar timbulkan provokasi kononnya UMNO semakin tertekan dan gentar kepada pembangkang.

Menurut beliau lagi, Anwar merupakan dalang yang menghancurkan perpaduan umat Melayu dengan memainkan sentimen kaum bagi mencapai cita-cita politkknya.

“Sekarang Anwar sedang berdepan dengan isu meliwat, maka untuk mengalih perhatian rakyat, maka dia ciptakan pula slogan memerangi Najib, itu semua gimik piolitik,” tegasnya.

Katanya, rasa kecewa dan dendam Anwar kepada Najib semakin memuncak apabila Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berupaya mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan menerusi pendekatan gagasan 1 Malaysia.

“Anwar amat kecewa dengan kemampuan dan kebolehan Najib melakukan transformasi politik dan sosial kearah mengukuhkan semula struktur ekonomi negara,” tegasnya.

Katanya, menyedari rakyat mulai hilang kepercayaan kepada PKR menyebabkan Anwar mencanangkan akan memerangi keperibadian Najib secara habis-habisan khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PKR) akan datang.

“Sebenarnya rakyat Selangor kecewa dengan kepimpinan Khalid dan bagi menutup kepincangan itu, Anwar gembar-gemburkan serangannya kepada Najib,” tegasnya.

Beliau berkata, PKR semakin hilang pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila ada cadangan daripada sekutunya supaya jawatan tertinggi dalam PR disandang oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Ini menunjukkan di kalangan pembangkang sendiri sudah hilang keyakinan kepada ketokohan dan keperibadian Anwar sebagai pemimpin kerana masih disabitkan dengan isu liwat,” tegasnya lagi.

Saturday, November 14, 2009

“Allah s.w.t. tak bagi seru Nik Aziz tunaikan haji' – Syed Ali

DATUK Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh samakan diri beliau dengan Nabi Muhammad s.a.w. apabila mengambil keputusan membatalkan niatnya untuk mengerjakan fardhu haji, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshe.

“Siapa dia Nik Aziz yang samakan dirinya dengan baginda Rasulullah yang pernah dihalang oleh kaum quraish untuk memasuki kota Mekkah,” ujarnya.

“Nik Aziz kata dia seperti Nabi yang pernah di halang memasuki kota Mekkah, pengakuan ini merupakan perbuatan sesat, hebatkah dia sehingga tarafnya sama dengan Rasulullah,” jelasnya lagi.

Katanya, taraf Nik Aziz dengan Nabi Muhamamd umpama langit dengan bumi dan tidak ada sesiapa yang menyekat beliau daripada menunaikan haji.

“Tak ada yang halang dia nak Mekkah, cuma rakyat ingin tahu sama ada terdapat unsur rasuah, kalau ada, halal ke tidak duit itu?,” jelasnya.

Sebaliknya tegas beliau, Nik Aziz hanyalah ahli politik yang telah banyak melakukan kerosakan kepada perpaduan umat Islam di negara ini, bukannya ulamak seperti didakwa sesetengah pihak khususnya pengikut PAS.

Oleh sebab itu kata beliau, Menteri Besar Kelantan itu tidak wajar mempertikaikan kehendak Allah s.w.t. dengan meletakkan punca kegagalan beliau ke Mekah kerana disebabkan pihak tertentu.

“Sebenarnya, Allah s.w.t. tidak beri dia seru untuk ke Mekkah tahun ini, jadi dia tak boleh pergi, cuma isu beliau ditaja oleh pihak tertentu adalah sebab-musabab yang dijadikan oleh Allah s.w.t,” katanya.

“Mungkin tajaan itu bersifat rasuah dan merupakan duit haram, maka Allah s.w.t. tak pilih dan tidak izin Nik Aziz ke Mekkah, maka dia tidak boleh dakwa ada yang halang, itu semua ketentuan illahi,”.

Menurut beliau, jika Nik Aziz jujur dia sepatutnya agihkan tajaan tersebut kepada mereka yang benar-benar memerlukannya atau kepada mereka yang tidak pernah sekali pun seumur hidup menunaikan haji.

Menurut Syed Ali, Nik Aziz pernah membritahu bahawa beliau mempunyai banyak wang dan mampu ke Mekkah dengan perbelanjaan sendiri dan tidak pelahap (menagih) ditaja.

“Tetapi kerana sikap tamak dan takbur, beliau bermegah memberitahu umum bahawa semua orang berebut nak taja pergi Mekah, apabila orang persoalkan tajaan itu halal ke haram, dia samakan pula dirinya dengan Nabi,” tegasnya lagi.

Helah ini kata Syed Ali merupakan permainan Nik Aziz untuk memberitahu bahawa dirinya bersih dan alim sehingga melebihi manusia lain.

Sehubungan itu, beliau menasihati Menteri Besar Kelantan itu supaya segera bertaubat dan menarik balik kenyatannya bahawa dirinya seumpama Nabi Muhammad yang pernah dihalang ole kaum quraish.

Beliau mengulas kenyatan Nik Aziz dalam sebuah akhbar harian hari ini yang mendakwa beliau tidak jadi pergi ke Mekkah sebab ada surat khabar yang bising dan membesarkan cerita beliau ditaja.

Ekoran itu, Nik Aziz menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah dihalang oleh orang quraish daripada memasuki kota Mekkah, dan kini beliau juga dihalang daripada niat mengerjakan haji oleh quraish Malaysia.

"Sebenarnya Mursyidul Am PAS itu semakin nyanyuk sehingga tidak dapat membezakan antara dirinya dengan kemuliaan Rasulullah," tambahnya.

Katanya, umat Islam yang waras tidak akan menyamakan kedudukan diri mereka setaraf Nabi kerana Rasulullah insan terpilih dan menjadi utusan Allah s.w.t. untuk memimpin manusia.

Katanya, Nik Aziz sudah tidak berupaya lagi untuk mengetuai gerakan PAS keratana sikapnya yang sering menyalahkan orang lain, mempermainkan agama dan mengagungkan diri sendiri supaya sentiasa dilihat hebat.

'Jika ada orang kata dia seperti Quran buruk yang dimakan anai-anai, dia melenting dan marah, tetapi itulah hakikatnya, Quran dah dimakan anai-anai, tak ada muka surat, nak baca tak boleh, nak buang, ianya Quran, mahu tak mahu terpaksa dibakar, jadi debu,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Nik Aziz perlu melihat kepada dalam dirinya sendiri secara ikhlas dan benar-benar jujur sebelum menyalahkan orang lain dan mempersoalkan ketentutan Allah s.w.t.